OGOS 2024

Peruntukan Rm1 Bilion Bangunkan Prasarana Sempadan Sarawak Dengan Indonesia


KUCHING: Kerajaan Persekutuan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM1 bilion bagi membangunkan prasarana di kawasan sempadan Sarawak dengan Indonesia.

Ini sebagai persediaan bagi pembangunan ibu kota negara baharu Indonesia yang terletak di Kalimantan Timur.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, peruntukan terbabit bagi keselamatan sempadan dan juga Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di pintu masuk sempadan negara ini.

"Di Sarawak dan Sabah kena tingkatkan segala kemudahan, sebab sekarang ini pun sudah ramai yang datang dari sebelah sana (Kalimantan) sama ada untuk melancong untuk tujuan kesihatan dan pendidikan,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar JalurGemilang Peringkat Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Sarawak, di sini, hari ini.

Fadillah berkata, beliau juga telah diarah untuk duduk bersama Kerajaan Negeri di Sarawak dan Sabah serta semua agensi pelaksana dalam mesyuarat berkaitan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

"Ini untuk kita mengemaskini perkara tersebut dengan terperinci dan daripada peruntukan RM1 bilion itu, kementerian yang terlibat belum semua mengemukakan permohonan," katanya.

Beliau menambah negara ini perlu bersedia memastikan peluang yang akan wujud di Nusantara sebagai ibu kota baharu Indonesia sama ada perniagaan dan sebagainya.